Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, October 13, 2016

Kisah pengkhianatan seorang pemimpin gerakan Islam terhadap parti rakan tahaluf siyasi

Tulisan di bawah mengandungi kesah PENGKHIANATAN seorang pemimpin gerakan Islam terhadap parti rakan tahaluf siyasi, meninggalkan tompok hitam dalam sejarah gerakan Islam Malaysia yang cukup mengaibkan)

Sikap Almarhum TGNA dan TGHH dalam Persoalan Tahaluf -

- YB Khalid Samad -

Saudara Nordin Ali telah memberi respon kepada tulisan saya berhubung pengkhianatan yang dilakukan PAS terhadap PR semasa di bawah kepimpinan TGHH. Dia menjawab bahawa TGNA juga mempunyai sikap yang sama dengan TGHH dan oleh itu sepatutnya saya gelarkan tindakan Almarhum TGNA sebagai suatu pengkhianatan juga. Dia telah memberi beberapa hujjah dan alasan untuk menyokong dakwaannya itu.

Dia berusaha menyamakan tindakan TGHH di Kota Damansara dengan tindakan TGNA di Kota Bharu pada 2004 dan 2008 sedangkan kedua-dua peristiwa ini bukan sekadar berbeza tetapi bercanggah di antara satu sama lain. Sebelum saya jelaskan mengapa ianya bercanggah dan berlainan, biarlah saya kemukakan dulu hujjah saudara Nordin.

Kisah Tuan Syed Hussein Ali : PRU 2004

Tuan Syed Hussein Ali ingin diturunkan oleh PKR sebagai calon mereka di Parlimen Kota Bharu pada pilihan raya tahun 2004. Almarhum TGNA membantah cadangan itu dengan mengatakan bahawa selama ini orang Kelantan telah diajar bahawa “Sosialis itu adik beradik dengan Kommunis” maka sekiranya Tuan Syed diturunkan di Parlimen Kota Bharu, dikhuatiri beliau akan ditolak pengundi. Hasil dari itu maka PKR telah menukarkan calon mereka dan meletakkan Nik Mahmood Nik Hassan. Tuan Syed Hussein pula telah diturunkan sebagai calon PKR di Negeri lain tanpa bantahan dari PAS.

Kisah PRU 2008 : Diletaknya Dato Wan Rahim

Versi saudara Nordin ini dipertikaikan kesahihannya oleh Dato Wan Rahim sendiri. Namun saya bentangkan juga untuk pengetahuan semua dan sertakan sekali penjelasan saya walaupun versi ini dipertikaikan.

Pada PRU 2008 Almarhum berusaha meletakkan calon PAS di Parlimen Kota Bharu walaupun kerusi Parlimen Kota Bharu merupakan kerusi yang ditandingi PKR sejak 1999. Ini adalah atas sebab keputusan PRU 2004. Ketiga-tiga kerusi DUN di dalam Parlimen Kota Bharu dimenangi calon PAS tetapi kerusi Parlimen Kota Bharu yang ditandingi PKR dimenangi UMNO. Maka Almarhum membuat kesimpulan bahawa PKR bukan parti pilihan rakyat di Kota Bharu dan oleh itu berkeras untuk PAS bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

Hasil dari tindakan Almarhum maka PKR Kelantan membuat keputusan untuk tidak bertanding di mana-mana kerusi di Kelantan. Almarhum seterusnya menyebut PKR sebagai parti yang mencelarukan dan PAS bersedia menghadapi BN secara bersendirian tanpa kerjasama PKR di Kelantan.

Walaupun demikian, hasil perbincangan, akhirnya PKR tetap bertanding juga di Kelantan pada 2008 dan telah berjaya memenangi beberapa kerusi DUN dan Parlimen.

ANALISA DAN RUMUSAN

Ini adalah dua hujjah utama yang dikatakan Saudara Nordin bahawa sikap Almarhum TGNA adalah sama sahaja dengan TGHH. Sebenarnya ianya adalah sebaliknya. Sekiranya peristiwa yang melibatkan Almarhum TGNA dibandingkan dengan TGHH, perbezaannya akan menjadi amat ketara bagi yang ingin mencari kebenaran.

1. Sikap dan Pernilaian Almarhum TGNA Kes Tuan Syed Hussein

Jika dilihat dari pendirian Almarhum TGNA, maka amat jelas bahawa keinginan Almarhum ialah supaya calon yang diletakkan akan menang atau mempunyai harapan untuk menang. Ini adalah kerana Almarhum tidak mahu melihat UMNO memenangi kerusi Parlimen tersebut. Pandangan Almarhum TGNA adalah sebagai seorang rakan Tahaluf yang jujur yang ingin melihat calon PR menang dan UMNO kalah. Oleh itu Almarhum menegur pilihan Tuan Syed Hussein sebagai calon di Kota Bharu. Ianya keputusan yang tidak mengambil kira waqi’ politik Kota Bharu dan Kelantan.

Harap maklum bahawa pencalonan Tuan Syed di kawasan lain TIDAK dibantah oleh Almarhum TGNA atau PAS pada ketika itu. Hakikat bahawa PAS tidak membantahnya membuktikan bahawa ianya keputusan yang dibuat berdasarkan waqi’ politik Kelantan.

2. Sikap dan Pernilaian Almarhum TGNA Kes Kota Bharu 2008

Begitu juga dengan keadaannya pada PRU 2008. Berdasarkan fakta dan statistik, Almarhum menjelaskan bahawa amat sukar bagi calon PKR menang di Parlimen Kota Bharu. Maka adalah lebih baik letakkan calon PAS. TGNA menganggap tujuan bertanding adalah untuk menang, lebih-lebih lagi dalam keadaan kemenangan itu boleh diperolehi. Adalah tidak masuk akal demi mempertahankan kerusi sebagai milik parti PKR dalam keadaan diketahui berdasarkan keputusan PRU lepas, bahawa calon PKR akan kalah. Ini akan mnyebabkan UMNO menang dan dengan itu, Almarhum TGNA sebagai rakan PR, tidak sanggup membenarkannya.

Respon Almarhum TGNA terhadap pendirian PKR menarik diri bertanding di Kelantan pada tahun itu hasil pendirian beliau adalah kerana seolah-olahnya faktor menang itu tidak dipentingkan oleh PKR. Oleh itu dikatakan pemikiran PKR Kelantan ‘mencelarukan’. Ini adalah kerana faktor kemenangan adalah yang terpenting bagi sesebuah parti politik. Namun akhirnya ianya selesai dengan baik melalui perundingan.

Maka dalam kedua-dua peristiwa yang disebut oleh Saudara Nordin, kemenangan calon PR adalah matlamat utama Almarhum. Dalam soal ini kita boleh rumuskan Almarhum TGNA amat jujur dalam mengamalkan tahaluf siyasi ini.

3. Versi Dato Wan Rahim

Mengikut Dato Wan Rahim, sebenarnya kerusi Kota Bharu ditukar dengan kerusi Machang pada 2008 kerana PKR ingin meletakkan Saifuddin Nasution sebagai calon mereka. Ini disebabkan kerana Isteri Saifuddin adalah orang Machang maka lebih sesuai untuk beliau bertanding di situ. Machang asalnya kerusi PAS dan Kota Bharu pula kerusi PKR. Maka yang berlaku adalah pertukaran kerusi secara suka sama suka.

Sambil itu, Dato Wan Rahim sebagai YDP PAS Kota Bharu ditugaskan untuk bertanding di Kota Bharu.

4. Perbandingan Dengan Kes Kota Damansara

Bagaimana pendirian Almarhum TGNA boleh disamakan dengan pendirian TGHH dalam kes Kota Damansara? Ianya bagaikan langit dengan bumi.

Di Kota Damansara, Dr. Nasir adalah ‘incumbent’ atau mempertahankan kerusi yang telah dimenanginya pada 2008. Oleh itu, keadaan beliau tidak sama dengan Tuan Syed Hussein. Dr. Nasir telah menang dan beliau telah membuktikan bahawa beliau boleh menang. Maka ianya tidak sama juga dengan kes Kota Bharu pada 2008. Kalau Dr. Nasir telah kalah pada 2008 mungkin boleh digunakan sebagai hujjah untuk menolak beliau tetapi hakikatnya beliau telah menang.

Amat jelas, keputusan TGHH untuk membenarkan ‘sahabat menantunya’ bertanding bukan bertujuan menentukan kekalahan BN dan kemenangan calon PR. Sebaliknya ia dilakukan dengan penuh kesedaran bahawa melalui itu, calon UMNO berkemungkinan boleh dan akan menang!

Melakukan sesuatu yang memungkin rakan kalah dan lawan menang, itulah maksud dan takrif perkataan ‘khianat’. Maka inilah apa yang telah dilakukan di Kota Damansara dan yang paling malang sekali ialah TGHH langsung tidak berasa bersalah, walaupun sedikit, bahawa UMNO telah menang atas sebab tindakan beliau itu. Tiada kekesalan pada masa itu hingga ke hari ini.

Ini belum lagi kita ambil kira persetujuan bersama di semua peringkat untuk membenarkan Dr. Nasir bertanding sekiranya beliau menggunakan lambang PKR. Ini merupakan syarat seperti yang dikenakan ke atas beliau pada 2008. Persetujuan ini dikhianati. Tiada persetujuan yang sebegitu yang telah dikhianati TGNA.

KESIMPULAN

Kita boleh terus berputar belit dengan hujjah itu dan ini demi menegakkan benang yang sudah basah. Kita juga boleh memberi seribu satu alasan untuk mempertahankan tindakan pemimpin yang disanjungi. Namun ia tetap alasan dan ia tetap putar belit yang dapat dilihat jelas oleh rakyat jelata.

‘Pengkhianatan’ terhadap PR yang dilakukan TGHH adalah terang lagi bersuluh. Saya dan rakan-rakan telah cuba menegur pengkhianatan itu tetapi kami pula yang dipersalahkan sehinggalah terjadi apa yang telah terjadi. Kejujuran dalam berpakat membezakan pendekatan Almarhum TGNA dan TGHH. Pendekatan TGNA adalah pendekatan berdasarkan prinsip Islam.

Kejujuran Almarhum terus terserlah apabila difikirkan bahawa Kelantan diperintah PAS sejak 1990, iaitu selama 25 tahun. Jika mahu difikirkan, PAS terkuat di Kelantan. PAS Kelantan yang paling layak untuk mendakwa mereka tidak memerlukan PKR atau DAP. Namun Almarhum terus menerima calon PKR untuk bertanding di Kelantan dan bermesra dengan pimpinan DAP. Almarhum menyebut “sebagai tanda persahabatan”. Ini jauh berbeza dengan apa yang telah berlaku di Terengganu yang mana tidak pernah diperintah PAS selama mana di Kelantan, tetapi amat sukar untuk berunding dan membahagi kerusi sepertimana di Kelantan.

Kejujuran, keikhlasan bersahabat serta berpakat dan keinginan yang bulat untuk menjatuhkan UMNO/BN. Itulah sebenarnya yang membezakan antara Almarhum TGNA dan TGHH.

WaLlahu 'Alam

- Kavin Botomen

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa