Thursday, October 13, 2016

Riuh rendah seluruh negara, akhirnya apa pun tadak!

RIUH RENDAH SELURUH NEGARA AKHIRNYA APA PON TAK ADA

Pada sidang Dewan Rakyat yang lepas, Azalina Othman Said telah membuat suatu silap mata yang akhirnya ramai pakat ghapla dan jadi gila. Ada yang gila komen, ada yang gila menulis, ada yang gila berhimpun, ada yang gila melabel sehingga ada yang gila nak jadi tuhan sampai boleh menjatuhkan sesiapa yang tidak sokong Rang Undang-Undang Persendirian (RUUP) Ahli Parlimen Marang telah jatuh iman dan kafir akhirnya.

Sebenarnya jika kita fahami prosedur Dewan Rakyat, semua kegilaan itu tidak akan berlaku. Masalahnya kadang-kadang bukan tidak faham tetapi sengaja untuk memperbodohkan diri dan masyarakat. Tetapi selalunya memang tidak faham. Yang membawa usul RUUP sendiri tidak faham prosedur. Yang diarak ke hulu ke hilir bukan usul tetapi kandungan.

Masalahnya sekarang kandungan yang hendak dipinda belum perlu diriuh rendahkan kerana bukan kerja dia. Bukan kerja masyarakat. Bukan hak masyarakat untuk menyokong. Jika disokong sekali pun ianya tidak memberikan apa-apa kesan kerana akhirnya ianya akan kembali kepada Umno/BN.

Sekarang aku nak bawa semua kawan-kawan yang boleh membaca agar sama-sama kita fahami bagaimana prosedur seseorang Ahli Dewan Rakyat (ADR) hendak membawa suatu RUUP. Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat (PMDR) di Peraturan 49 memberikan hak eksklusif kepada mana-mana ADR yang bukan dari pihak Kerajaan untuk membawa suatu RUUP.

Peraturan 49 (1) menyatakan seperti berikut :

49. (1) Dengan tertakluk kepada syarat-syarat dalam Perkara 67 dalam Perlembagaan siapa-siapa ahli yang bukan ahli Kerajaan yang hendak membawa Rang Undang-undang boleh meminta izin Majlis hendak berbuat demikian, dan ia hendaklah juga menyertakan bersama satu naskhah Rang Undang-undang berserta dengan huraian mengenai tujuan-tujuan dan sebab-sebabnya, tetapi tidak boleh mengandungi apa-apa hujah pada masa membawa Rang Undang-undang itu.

Peraturan 49 (1) jelas menyebutkan bahawa mana-mana ADR bukan Kerajaan yang hendak membawa RUU boleh meminta izin kepada Majlis untuk berbuat demikian dan hendaklah menyertakan bersama permintaan izin itu satu naskhah RUU berserta huraian mengenai tujuan dan sebab-sebabnya. Sebarang hujah tidak boleh dimasukkan semasa membawa RUU tersebut.

Sekarang jom kita lihat apa yang telah dilakukan oleh ADR Marang.

ADR Marang telah memasukkan suatu usul di bawah Peraturan 49 (1) seperti berikut :

“Bahawa Dewan ini memberikan kebenaran menurut Peraturan Mesyuarat 49 (1) kepada Yang Berhormat Ahli bagi kawasan Marang untuk mencadangkan suatu Rang Undang-undang Ahli Persendirian bernama Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 seperti berikut:-

i. menggantikan Seksyen 2 dengan seksyen berikut:

“2. Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas seseorang penganut agama Islam dan di dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara-perkara yang disenaraikan di dalam Butiran 1 Senarai Negeri di bawah Jadual Kesembilan Undang-Undang Persekutuan.”;

dan

ii. memasukkan selepas seksyen 2 dengan seksyen berikut:

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, selain dari hukuman mati.”

Usul ADR Marang di atas ialah di bawah Peraturan 49 (1) iaitu memohon kebenaran Majlis untuk beliau membawa suatu RUUP. Yang jelas disebut oleh ADR Marang ialah bahawa Dewan memberikan kebenaran kepada ADR Marang untuk membawa suatu RUUP. “Dewan” yang dimaksudkan ialah “Majlis” yang disebutkan dalam Peraturan 49 (1). “Majlis” bermaksud mesyuarat Dewan Rakyat.

Marang hanya memohon kebenaran daripada Dewan untuk membawa suatu RUUP. Baik, sekarang usul diterima masuk untuk didengar di dalam Majlis. Seperti mana yang kita ketahui, ADR Marang telah berjaya membaca usulnya buat kali pertama pada sidang yang lepas dan kemudian memohon ditangguhkan ke sidang Oktober nanti.

Apa yang akan berlaku seterusnya?

Ditakdirkan pada 17 Oktober 2016 apabila Dewan Rakyat mula bersidang, usul ADR Marang diangkat semula untuk dibacakan maka Peraturan 49 (3) akan terpakai.

Peraturan 49 (3) menyatakan bahawa :

(3) Apabila diperkenankan permohonan itu setelah dikemukakan kepada mesyuarat dan disetujukan usul itu, maka Rang Undang-undang itu akan disifatkan telah dibacakan kali yang pertama dan diperintahkan dicap; dan satu salinan Rang Undang-undang itu hendaklah disampaikan kepada Setiausaha.

Peraturan 49 (3) jelas menyatakan bahawa “apabila diperkenankan permohonan itu setelah dikemukakan kepada mesyuarat dan disetujukan usul itu,”. Apa maksudnya? Maksudnya ialah usul ADR Marang di bawah Peraturan 49 (1) akan dibacakan di dalam Dewan. Dewan kemudiannya akan mengundi samada bersetuju untuk memberikan kebenaran atau tidak. Jika tidak bersetuju memberikan kebenaran, maka usul ADR Marang akan ditolak. Jika dipersetujui memberikan keizinan, maka RUU itu akan disifatkan telah dibacakan kali yang pertama di mana ianya akan diperintahkan dicap dan satu salinan RUU itu hendaklah disampaikan kepada Setiausaha.

Contoh

Yang diPertua :
Sekarang saya panggil Yang Berhormat Marang untuk bacakan usul beliau di bawah Peraturan Mesyuarat 49 (1), Sila Marang.

ADR Marang :
Terima kasih Tan Sri Yang diPertua, Saya mohon izin Dewan yang mulia ini di bawah Peraturan 49 (1) untuk memberikan keizinan kepada saya membawa suatu Rang Undang-Undang Persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 seperti berikut : (lalu ADR Marang membaca usulnya tersebut)

Setelah selesai ADR Marang membacakan usulnya, Yang diPertua akan membuka kepada Majlis untuk diputuskan.
Yang diPertua :

Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan suatu masalah iaitu suatu usul oleh ADR Marang di bawah Peraturan 49 (1) untuk diputuskan. Ahli-ahli yang bersetuju kata setuju dan yang tidak kata tidak.

(Ahli-Ahli Dewan akan bersoarak setuju atau tidak)

Yang diPertua :
Lebih suara setuju, jadi usul dipersetujukan.

Pada peringkat ini usul tersebut telah dianggap sebagai Bacaan Kali Pertama. Selepas itu, Yang diPertua akan arahkan ADR Marang serahkan RUU kepada Setiausaha untuk dicapkan.

Usul Marang sebenarnya TIDAK dibahaskan. Beliau hanya membaca usul dan kemudian Yang diPertua akan membuka kepada Majlis untuk memberikan keizinan atau sebaliknya. Kenapa tidak perlu bahas? Ini kerana di dalam usul ADR Marang di bawah Peraturan 49 (1) telah siap sedia dengan suatu naskhah RUU beserta huraian tentang tujuan dan sebab RUU dibawa. Jadi semua ADR sudah membaca dan faham apa yang hendak dibawa, jadi tidak perlu dibahaskan.

Kita ambil positif bahawa permohonan ADR Marang melalui Peraturan 49 (1) itu dipersetujui dan diizinkan oleh Dewan dan dianggap sebagai bacaan kali pertama. Maka seterusnya Peraturan 49 (4) mengambil tempatnya. Apabila Bacaan Kali Pertama telah dilakukan, RUU akan dicap dan diserahkan kepada Setiausaha Dewan. Setiausaha Dewan akan menghantar RUU tersebut kepada semua ADR tanpa sebarang perbahasan. RUU yang telah dicap tersebut kemudiannya adalah terserah kepada Menteri yang berkenaan (dalam hal ini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom) atau jika beliau tiada, terserah kepada mana-mana Menteri atau mana-mana ADR yang dilantik oleh Yang diPertua, tetapi RUU tersebut tidak boleh dibuat apa-apa tindakan sehingga Majlis (Dewan) menerima penyata daripada Menteri atau ahli yang dilantik itu.

Ini jelas disebut oleh di dalam Peraturan 49 (4) seperti berikut :

(4) Dengan tertakluk kepada Peraturan Mesyuarat 51, Rang Undang-undang itu hendaklah dicap dan dihantar kepada ahli-ahli dan dengan tidak dibahaskan, terserahlah Rang Undang-undang ini kepada Menteri yang berkenaan dengan perkara-perkara atau tugas-tugas yang terkandung dalam Rang Undang-undang itu atau, jika tiada Menteri yang berkenaan, maka terserahlah Rang Undang-undang itu kepada Menteri atau ahli yang dilantik oleh Tuan Yang di-Pertua, tidak boleh dijalankan apa-apa langkah atas Rang Undang-undang ini sehingga Majlis menerima penyata daripada Menteri atau ahli itu.

Apa maksud semua ini? Maksudnya jika usul ADR Marang diluluskan, RUU tersebut tertakluk kepada Menteri yang berkaitan untuk membawanya ke dalam Dewan untuk dibahaskan. Selagi Menteri tidak membawa ke dalam Dewan, selagi itu RUUP Marang tiada sebarang kesan dan Akta 355 yang hendak dipinda oleh ADR Marang tidak berlaku. Buang masa kan? Sia-sia kan?

Peraturan 49 (5) seterusnya menyatakan :

(5) Setelah diterima penyata yang disebutkan dalam perenggan yang lalu itu, maka Rang Undang-undang itu akan ditetapkan bagi dibacakan kali yang kedua pada hari yang dikehendaki oleh ahli yang menjaga Rang Undang-undang itu.

JELAS apabila setelah Majlis menerima penyata daripada Menteri barulah ia akan ditetapkan untuk Bacaan Kali Kedua dan dibahaskan serta diundi untuk kelulusan.

Akhirnya pindaan akan berbalik kepada Menteri yang bertanggungjawab. Bukankah lebih baik dari awal Menteri itu yang masukkan pindaan bukan ADR Marang yang masukkan RUUP? Suka sangat buat kerja sia-sia sedangkan Islam tak suruh buat kerja sia-sia. Banyak lagi yang lebih utama. Dah la buat kerja sia-sia, sampai jadi gila semua orang dek kerana kerja sia-sia yang dia buat. Habis kafir kawan-kawan. Musuh gelak tepuk tangan.

Menang sorak kampung entah ke mana.

Pulun riuh rendah ke hulu ke hilir akhirnya pancut awal. Apa pon tak boleh. Penat saja.

Aku Ahli DAP.
DAP tidak anti Islam.

BERANI BERUBAH - TERUS BERUBAH.

ZULHAZMI SHARIFF.
Ahli Biasa DAP
Cawangan Taman Tun Dr Ismail
Kuala Lumpur
10 Oktober 2016

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa