Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, October 13, 2016

Yang ni aku setuju: Rakyat sedang memerhati gelagat pemimpin UMNO

Rakyat sedang memerhati gelagat pemimpin UMNO - Syed Ali
Blog |  Oktober 12, 2016 08:45 MYT
Rakyat sedang memerhati gelagat pemimpin UMNO - Syed Ali
Rakyat sedang memerhati tingkah laku pemimpin UMNO sebelum mereka membuat keputusan pada PRU ke-14 nanti.
KUALA LUMPUR: Rakyat sedang memerhati tingkah laku pemimpin UMNO sebelum mereka membuat keputusan sama ada memihak kepada parti atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berpendapat, perlakuan pemimpin parti di semua peringkat semakin mudah dikesan rakyat berikutan perkembangan teknologi maklumat yang semakin pantas berkembang.

"Maklumat kini berada di hujung jari, apa sahaja yang berlaku membabitkan pemimpin politik semakin mudah diketahui umum.

"Kecanggihan penggunaan aplikasi mudah alih serta laman-laman sosial semakin menjadi medium utama kepada semua pihak mendapat pelbagai maklumat semasa.

"Jika perbuatan atau tingkah laku serta tindak-tanduk pemimpin UMNO yang dianggap negatif akan mudah menjadi cemuhan rakyat," katanya dalam catatan terbaharu di laman blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan merangkap Bendahari Barisan Nasional (BN) negeri itu turut mengingatkan bahawa rakyat mudah terpengaruh dengan laporan awal sesuatu kejadian atau maklumat.

"Berita pertama itulah yang akan menarik perhatian rakyat dan selepas itu walaupun ada penafian, audien tidak mudah mempercayai lagi kerana berpendapat lumrah bagi pemain politik membuat sesuatu penafian.

"Walaupun laporan awal itu berbau fitnah atau sengaja diputarbelitkan oleh pihak berkepentingan tetapi kesannya cukup besar kepada pemerhatian rakyat.

"Apatah lagi apabila masyarakat memandang sinis terhadap sesetengah pemimpin politik yang seringkali menyalahkan pihak media kononnya tersalah lapor berkaitan sesuatu kejadian atau isu," jelasnya.

Katanya lagi, ada kenyataan yang disalah erti pihak media sekali gus membuatkan rakyat menjadi bosan dan tidak mempercayai penafian berikutnya.

"Jadi, pemimpin UMNO sewajarnya memiliki sifat bertanggungjawab dan ikhlas berjuang untuk parti dan orang Melayu keseluruhannya.

"Apabila sikap bertanggungjawab menjadi sebahagian daripada acuan perjuangan maka apa juga perbuatan atau tingkah laku sudah pasti akan berasaskan kepada kesusilaan, berhemah dan menghormati orang lain.

"Dalam kerangka politik, tidak menjadi kesalahan jika bertindak agresif tetapi untuk menjadikan UMNO lebih dihormati maka tindak-tanduknya perlu bijak dan berhemah," katanya.

Tambah Syed Ali, pemimpin UMNO perlu mengambil iktibar bahawa orang Melayu adalah majoriti penyokong dan pengundi UMNO.

"Orang Melayu masih ada adat resam, budaya dan mengamalkan tatacara sebagai seorang Islam, tetapi apabila kesemua itu diketepikan kerana kepentingan politik, dikhuatiri UMNO akan dicemuh dan dibenci oleh orang Melayu itu sendiri.
"Barangkali mungkin hanya segelintir pemimpin UMNO yang tingkah laku atau perbuatannya tidak disenangi ramai tetapi kita kena ambil kira, kesannya akan meresahkan parti," ujarnya.

Syed Ali bagaimanapun melahirkan keyakinan bahawa UMNO akan terus kekal sebagai parti yang akan membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil pada PRU ke-14 akan datang.

"UMNO tidak akan 'tumbang' selagi kepercayaan dan kepentingan rakyat terutama orang Melayu masih terpelihara dan dipertahankan.

"UMNO akan kekal kukuh mendominasi kerajaan BN kerana orang Melayu masih memberikan sokongan kepada parti walaupun sekarang ini dilihat berdepan dengan cabaran yang agak kritikal," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa