Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, September 1, 2014

Meng‘Umno’kan PKR dan PAS

Hazlan Zakaria

KOMEN: Saya tertarik melihat perkembangan politik semasa yang menampilkan parti-parti pembangkang seperti PKR dan PAS meniru langkah Umno di dalam menyelesaikan krisis MB Selangor hari ini.
Langkah ini saya gelar sebagai proses meng‘Umno’kan sesebuah parti.
Walaupun mereka tidak berkongsi ideologi dengan parti Melayu itu atau bekerjasama bagi mempertahankan agenda ketuanan Melayu, parti-parti ini seakan berbicara dan berfikir seperti Umno.
Mungkin juga, perkara ini berlaku kerana PAS merupakan pecahan Umno manakala PKR pula terdiri daripada bekas pemimpin-pemimpin parti Melayu itu.
Isyarat pertama proses meng‘Umno’kan parti di dalam Pakatan Rakyat ini tercetus melalui suara-suara di dalam PKR, yang menjadi penghubung di antara PAS dan DAP.
“Jika anda tidak yakin dengan parti dan perjuangan para pemimpinnya bagi membasmi korupsi, anda dialu-alukan keluar,” gertak Rafizi di dalam mempertahankan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kongres parti itu hujung minggu lalu.
Akhbar Bahasa Inggeris The Star memetik beliau berkata demikian kepada para ahli PKR yang tidak yakin serta mempersalahkan Anwar kerana mencetus kekalutan yang berlaku hari ini.
Rafizi menumpukan perhatian terhadap mereka yang menuduh tokoh politik kelahiran Pulau Pinang itu mengamalkan nepotisme, dengan mengingatkan mereka bahawa kritikan boleh dibuat sekiranya menggunakan kaedah dan saluran yang betul.
Beliau juga mengingatkan mereka agar jangan menuduh sesiapa yang dipilih mengikut amalan demokrasi sebagai mengamalkan nepotisme, walaupun tidak menyebut tentang pemimpin yang tidak menjalani proses pemilihan.
Tiada juga kenyataan diberi tentang pemilihan parti yang berlanjutan selama beberapa bulan dan diselubungi pertelingkahan mahupun dakwaan bahawa pengaruh “pihak tertentu” memainkan peranan di dalam corak pengundian. Ini terutamanya terjadi apabila “pihak tertentu” itu merupakan tokoh atau idola yang dipuja-puji.
Sementara itu, beberapa hari kemudian, mesej yang sama juga dilaungkan pemimpin gabungan Pakatan Rakyat daripada PAS.
“... sesiapa yang tidak setuju PAS bersama-sama PR wajar meninggalkan parti dan ke tempat lain,” ujar AJK PAS Pusat Khalid Samad yang dipetik sebuah laman berita The Malaysian Insider.
Beliau membidas ahli-ahli PAS yang didakwa menyokong usaha menubuhkan Kerajaan Perpaduan (UG) kerana percaya parti Islam itu perlu bersama-sama saudara seagama dan Umno agar dapat mempertahankan kepentingan oranng-orang Melayu dan ajaran Islam.
Namun ia mungkin juga peringatan kepada ahli-ahli PAS agar berhati-hati supaya tidak melanggar keputusan parti di dalam membuat kenyataan peribadi.
PAS sering dilihat sebagai parti yang mementingkan disiplin tetapi jumlah ahli atau wakil rakyatnya yang rapat dengan pemimpin berpengaruh di dalam PKR telah membuatkan para pemerhati tertanya-tanya samada kesetiaan mereka telah beralih arah.
Ketika krisis jawatan MB Selangor, dua ahli dewan undangan negeri (ADUN) PAS yang berhubungan baik dengan PKR telah membelakangi keputusan parti sendiri apabila menandatangani surat menyokong pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku peneraju baru pentadbiran negeri.
Perkara ini berlaku sedangkan sesetengah ahli PAS berbicara soal gabungan dengan Umno di mana MB Tan Sri Khalid Ibrahim mampu dilantik menerajui pentadbiran Kerajaan Perpaduan.
Seperti juga Umno, keangkuhan ini menyaksikan mereka berkata pemimpin dan parti tidak mungkin berbuat salah. Amalan fanatik sebeginilah yang ditakuti kerana apabila dilakukan pemimpin-pemimpin politik, ia mampu memusnahkan negara tercinta.
Contohnya, Umno sering mengingatkan bahawa sesiapa yang tidak menyokong parti dan perjuangannya wajar berhijrah ke negara lain.
Kini, sikap yang sama seakan ditonjolkan pemimpin-pemimpin PKR dan PAS seperti Rafizi Ramli dan Khalid Samad. Pemerhati memang seharusnya gusar dengan perkembangan ini.
Di manakah sikap membenarkan perbezaan pendapat dan membudayakan perbincangan di dalam pakatan pembangkang? Di manakah dasar-dasar toleransi dan keputusan sebulat suara sedangkan mereka gemar melaksanakan dasar tidak ubah seperti Umno?
Di dalam konteks ini, adakah Anwar menjadi teras perjuangan paling utama di dalam PKR, sehingga sesiapa yang tidak setuju dengannya perlu keluar? Adakah kerjasama dengan Pakatan Rakyat paling dititik-beratkan sehingga sesiapa yang tidak gemarkannya, perlu keluar daripada PAS?
Nampak gaya politik Pakatan tidak membenarkan jalan tengah dilakar.
Saya hormati Rafizi dan Khalid Samad, tetapi saya percaya pandangan mereka menggambarkan proses meng‘Umno’kan parti.
Satu lagi contoh yang wajar diperkata ialah  kekerapan PAS dan PKR menggunakan perkataan ‘rakyat’, bagi menerangkan pendirian mereka.
Ianya seolah-olah amalan Umno yang kerap menggunakan perkataan ‘kerajaan’ bagi menerangkan pendirian parti, mungkin kerana telah memerintah Malaysia sejak sekian lama.
Kini, PKR dan PAS pula gemar menggunakan perkatan “rakyat” lebih-lebih lagi bagi menggambarkan “harapan” rakyat. 
Adakalanya, apa yang rakyat harapkan berbeza daripada perebutan kuasa di dalam Pakatan namun PKR dan parti komponen PR yang lain kekal memberi gambaran bahawa mereka melakukannya demi memenuhi “harapan” rakyat.
Rafizi ketika membidas Khalid Ibrahim berkata Khalid tidak boleh membubarkan Sidang DUN kerana ia bercanggah dengan hasrat “rakyat”.
Tidak pula kita dengar samada pungutan suara dijalankan bagi mengetahui hasrat sebenar rakyat; apa yang kita faham ialah PKR yang tak mahu Sidang DUN dibubarkan dan kempen ini diterajui pakar undang-undang PKR Dr Abdul Aziz Bari, yang menulis kolum di Semut Harian.
Adakah PKR mewakili suara Rakyat? Mungkin  tidak; kerana mungkin mereka mendapat mandat di dalam PRU13 tetapi rakyat dibenarkan mempunyai pendapat berbeza dengannya. Sama seperti Umno bukan kerajaan dan kerajaan bukannya Umno.
Aduuhhh! Pakatan. Ketelusan, kesaksamaan, keadilan, kemajuan tidak hanya dibuat bahan perbincangan tetapi perlu dilihat diamalkan. Jangan hanya bercakap tentangnya, kerana politik lebih tertumpu kepada persepsi.

3 comments:

  1. Abe,

    Menyamakan PKR dengan UMNO adalah satu andaian yang terlalu simple. Penulis tidak mengenali watak UMNO Baru yang sebenar. UMNO Baru sebenar tidak lebih sebagai sebuah vehicle untuk mengekalkan kekuasaan pemimpin peringkat tinggi dengan m3nggunakan dasar pragmatik. UMNO Baru sebenarnya tidak mempunyai ideologi yang jelas. Id3ologinya bersifat prakmatik iaitu apa yang boleh menarik sokongan bagi mengeluarkan kuasa pemimpin-pemimpin peringkat tertingginya terutama Presidennya.

    Contoh. Bila keputusan PRU 1990 menunjukkan orang melayu menolak UMNO Baru dimana presidennya masa itu melihat bahawa UMNO Baru tidak boleh mengharapkan sokongan orang melayu di Semenanjong untuk survival jangka panjang UMNO - dia bawa UMNO Baru ke Sabah sebagai fix deposit UMNO Baru yang baru!

    Untuk itu, kerana demografi Sabah yang tidak memihak kepada UMNO Baru dan kerana kesuntukan masa, untuk m3nyelamatkan kuasa didalam PRU 1995, Mahathir sanggup mengubah dasar keahlian UMNO Baru dengan membuka keahlian kepada semua bumiputra tak kira melayu atau tidak, Islam atau tidak.

    Kita juga boleh lihat kaedah sama diguna ol3h Najib. Apabila Najib mendapati sokongan rakyat k3pada UMNO Baru/ BN s3makin parah m3njelang PRU 13- untuk m3ny3lamatkan UMNO Baru Najib t3lah m3nggunakan isu perkauman untuk m3nakutkan orang m3layu agar terus menyokong UMNO Baru. Paling kurang untuk m3ngurangkan sokongan orang melayu yang mula m3ninggalkan UMNO Baru kepada pakatan p3mbangkang. Maka wujudlah Perkasa untuk menjadi alat bagi menanam sikap perkauman yang menjadi senjata UMNO Baru didalam PRU 13.

    Sedangkan dalam masa yang sama Najib cuba melindungi tindakan membangkitkan sentimen perkauman ini dengan berpura-pura m3njual kons3p 1MALAYSIA.

    Katakan jika usaha membangkitkan isu perkauman ini gagal menjelang PRU 14 nanti, pasti UMNO Baru akan cuba m3ncari helah baru pula. Tak mustahil UMNO Baru bertukar wajah lagi s3bagai s3buah parti berbilang kaum pula, contohnya.

    UMNO Baru sebenarnya m3ngenai pengekalan kuasa segelintir pemimpinnya dengan apa cara sekalipun. Yang pasti, orang melayu telah diguna sejak penubuhannya untuk tujuan ini.

    ReplyDelete
  2. Anon 8:38 AM

    Abe setuju.....
    Cuma bagi pihak PR (PAS dan PKR), sebaiknya pemimpin mereka cuba kurangkan 'cakap lepas'

    ReplyDelete
  3. Amat betul saranan bat8 di atas tu. Kalau boleh ditambah lagi, PAS selaku parti berjenama Islam tak kurang juga tempias dengan UMNO Baru terutama golongan muda yang berfahaman konservertif yang memperjuangkan politik berjenama Islam tetapi alternatifnya mereka juga amat tertarik dengan kilauan emas dan kuasa yang mudah diperolehi secara "mee segera", terutama golongan muda (UG). Kalau boleh dikongsikan bersama apa bezanya parti politik di Tanah Melayu ini jika disusun dan dimerdekakan di bawah Suruhanjaya Reid....? Semuanya gilakan kuasa dan rakyat pun faham, cuma kalau dah berkuasa maka tolong bantu rakyat dan jangan pula menyusahkan rakyat dan menyenangkan diri dan kroni apabila kuasa telah diberi kepada mereka. Tak payahlah nak berselindung disebalik "tarbiah" dan jenama Islam sedangkan rakyat kebanyakkan telah berpengalaman buruk apabila berurusan dengan berserban tinggi dan berjanggut ini (realiti). Politik adalah suatu perebutan kuasa.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa