Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Tuesday, September 2, 2014

Sisi Buruk Malaysia: Jabatan Imigresen Tahan Aktivis Natalie Lowrey Tanpa Diberikan Makanan Dan Air?

Penahanan aktivis anti-Lynas pamer sisi buruk Malaysia 
Published: 2 September 2014
Tiada yang menjangka akan dilayan sedemikian rupa semasa Tahun Melawat Malaysia 2014.
Aktivis alam sekitar Natalie Lowrey (gambar) yang berpengkalan di Sydney melihat sisi buruk Malaysia semalam apabila ditahan Jabatan Imigresen tanpa diberikan makanan, air atau dibenarkan menempah penerbangan pulang ke Australia.
Lebih buruk lagi, walau ditanya berulang kali, Jabatan Imigresen tidak dapat memberikan apa-apa alasan mengapa warga New Zealand itu tidak dibenarkan masuk ke Malaysia
Beliau terpaksa menyimpulkan tidak dibenarkan masuk ke Malaysia kerana kempennya menentang kilang memproses nadir bumi syarikat Australia di Kuantan, Pahang.
Bercakap dari Bali, Indonesia tempat beliau diterbangkan secara paksa, Lowrey menceritakan pengalamannya kepada The Malaysian Insider bagaimana layanan pegawai imigresen hanya menguatkan keazaman untuk terus berjuang agar Lynas menghentikan operasinya di Malaysia.
Beliau berkata, apabila diminta air kepada pegawai imigresen untuk minum, beliau diberitahu “mereka tidak mempunyai air” dan memberitahunya supaya dapatkan air dan makanan sendiri.
“Masalahnya saya diletakkan di tempat yang tiada apa-apa. Tiada mesin vendor air. Saya hanya dapat sebotol air daripada AirAsia apabila diserahkan kepada mereka untuk menaiki penerbangan ke Bali pada 10.30 pagi pada Isnin,” katanya tentang penahanannya di klia2 selama 14 jam.
Dari Bali, Lowrey mengambil pesawat ke Sydney malam tadi.
Lowrey mengatakan permintaannya untuk membeli tiket pulang terus ke Sydney dari klia2 turut dinafikan kerana pegawai imigresen tersebut bertegas beliau harus pulang ke Bali, hanya kerana tidak percaya apabila diberitahu dirinya merupakan penduduk tetap Australia.
“Bagaimana kami tahu anda benar-benar menetap di Sydney? Saya beritahu mereka berulang kali saya menetap di Sydney. Tetapi mereka tidak benarkan saya beli tiket pulang ke Australia dan bertegas saya harus pulang ke Bali, tempat di mana saya menaiki pesawat ke Kuala Lumpur,” kata Lowrey yang memegang pasport New Zealand tetapi merupakan penduduk tetap Australia.
Warga Australia dan New Zealand tidak memerlukan visa ke Malaysia kerana merupakan sebahagian daripada negara Komenwel.
Beliau berkata terkejut kerana disenarai hitam polis tetapi tidak imigresen, dan menambah walaupun pegawai imigresen kelihatan “bingung” tentang ini pada awalnya, beliau tetap tidak dibenarkan masuk.
Lowrey mengatakan selepas ditahan pada Jun kerana perhimpunan aman menuntut Lynas menghentikan operasi Lynas Advanced Material Plant (Lamp), di Kuantan, beliau bertanya polis di Kuantan apakah akan dibenarkan masuk kembali ke negara ini.
“Mereka memberitahu saya sepatutnya tidak ada masalah, tetapi itu polis Kuantan,” katanya.
Lowrey berkata, semasa dihalang masuk pada Ahad malam, peguamnya Farhana Halim datang ke klia2 tetapi tidak dibenarkan bertemunya dan hanya dibenarkan bercakap melalui telefon.
Beliau berkata, kedatangan kali ini untuk menunjukkan solidariti kepada 15 aktivis tempatan yang ditahan bersamanya pada Jun dan akan dibicarakan hari ini (2 September) di mahkamah Kuantan.
Beliau turut dijadualkan untuk mengembara ke tempat lain di Malaysia termasuk ke Pulau Pinang untuk bertemu rakan dan aktivis dalam lawatan tiga minggunya dan menambah beliau “sukakan Malaysia, rakyatnya, makanan dan budaya.”
Lowrey bagaimanapun berkata, episod ini tidak akan menghentikan kempennya, bukan hanya untuk “Stop Lynas” tetapi kempen lebih luas untuk memberikan tekanan kepada kerajaan-kerajaan agar menghentikan taktik intimidasi terhadap komuniti yang memperjuangkan alam sekitar kejiranan mereka.
Beliau juga berharap Lynas Corporation Ltd tidak akan diberikan lesen operasi tetap selepas lesen operasi sementara (TOL) tamat malam ini (2 September).
Pelombong Australia itu memilih Malaysia sebagai pusat operasinya kerana insentif kerajaan termasuk status perintis dan pengecualian cukai selama 12 tahun. Mereka mempunyai 300 pekerja di Kuantan.
Lowrey menambah mahu merayu senarai hitam terhadapnya dan keutamaan selepas pulang ke Sydney adalah meneruskan kerja aktivisnya terutamanya situasi di loji Lynas di Kuantan dan untuk arahan sekatan terhadap 15 aktivis yang dibicarakan ditarik balik. – 2 September, 2014

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa