Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, August 7, 2015

1MBB: Hahaa......Muhyiddin tibai lagi!

Saya bukan ‘yes man’, kata Muhyiddin
Published: 7 August 2015 12:59 PM
Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap di majlis perasmian mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di Johor hari ini. Beliau berkata sebagai pemimpin, perlu menegur sekiranya berlaku kesilapan dalam pentadbiran. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 7 Ogos, 2015.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan beliau bukan seorang yang mengamalkan prinsip "yes man" kerana sebagai pemimpin, beliau perlu menegur sekiranya berlaku kesilapan dalam pentadbiran.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, sejak digugurkan daripada Kabinet, beliau dilarang menyentuh isu membabitkan dana pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Isu tersebut menjadi punca beliau disingkirkan daripada Kabinet kerana sering mengkritik dengan lantang dan terbuka cara perdana menteri dan kerajaan mengendalikan syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
"Kalau kawan kita buat sesuatu, kita tegur. Dia tengok kita dengan muka garang, kita sayang dia. Ini pandangan saya.
"Mungkin dia tak setuju. Tak apalah, dia bos. Yes bos!, You okay bos? Everything alright bos? Tapi saya bukan ‘yes man’!" katanya semasa berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita Umno Bahagian Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di Johor hari ini.
Dalam ucapannya, Muhyiddin juga dilihat cuba untuk tidak menyebut perkataan "1MDB", sebaliknya perwakilan yang hadir menyebut nama syarikat itu.
"Saya diberi amaran jangan cakap pasal 1MDB. Sejak bila rakyat di Malaysia dikunci mulutnya. Apa isunya?" soalnya dan disambut laungan "1MDB" oleh perwakilan. 
"Saya tidak sebut..." kata Muhyiddin dan menambah: "Mungkin mimpi pun kita akan fikir tentang apa?" Lalu  perwakilan serentak menyahut: "1MDB".
Turut kelihatan di sekitar perkarangan kompleks sukan itu kain rentang yang tertera perkataan "Dare to Speak Out TSMY", merujuk singkatan namanya dan "Kami semua menyokong kepimpinan, tetap setia dan teruskan perjuangan parti" dengan gambar Muhyiddin memenuhi kain rentang tersebut.
Beliau dijangka merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Pagoh di lokasi sama esok.
Muhyiddin turut menegaskan beliau juga tidak akan sesekali melepaskan jawatan timbalan presiden Umno.
"Saya takkan letak jawatan (timbalan presiden). Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang dilihat menentang parti," katanya.
Beliau bagaimanapun bersyukur, mengatakan selepas digugurkan daripada Kabinet, beliau kini mampu menjalani kehidupan seperti rakyat biasa.
"Selepas peristiwa itu (gugur dari Kabinet), dunia yang tidak saya kenali lebih dekat dapat saya kenali.
"Kebebasan yang sewajarnya ada mungkin terhalang dan tersekat (selama ini). Mungkin selama 37 tahun saya tidak boleh lakukan perkara biasa seperti yang orang lain lakukan. (Sekarang) nak sarapan kedai mamak mana pun boleh," katanya.
"Bila saya digugurkan macam nikmat Tuhan itu dikembalikan kepada saya. Tidak perlu pergi pejabat, kerana tiada pejabat lagi," kata Muhyiddin mengulas situasi beliau kini susulan rombakan Kabinet 28 Julai lalu. – 7 Ogos, 2015.

Perwakilan Pagoh sangsi penderma mahu RM2.6 bilion masuk akaun Najib
OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Perwakilan sayap parti Umno di Pagoh, Johor, hari ini menyuarakan keraguan mereka yang penderma dana RM2.6 bilion dari Timur Tengah mahu wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pada pembukaan mesyuarat perwakilan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno Pagoh hari ini, ketika ucapan perasmian Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, kebanyakan mereka menjerit "tidak" apabila beliau berkata perkara itu dimaklumkan Najib kepadanya.
"Saya tanya, duit itu masuk ke mana, (Najib jawab) akaun saya. Kenapa masuk akaun you? Orang nak bagi derma itu suruh masuk akaun saya," katanya mengulangi dialog Najib kepadanya sebelum ini.
"Percaya atau tidak?" Muhyiddin mengajukan soalan kepada perwakilan, dan disambut dengan teriakan "tidak".
"Kena percaya, orang sudah beritahu itu percaya sahajalah... takut lepas ini lembaga disiplin (Umno) panggil saya," katanya.
Muhyiddin yang digugurkan daripada Kabinet Najib pada hujung bulan lalu berkata, beliau dimaklumkan oleh Najib, penderma dana berjumlah RM2.6 bilion itu mahukan wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.
Katanya, beliau sendiri tidak mengetahui dana berkenaan adalah derma, seperti mana dimaklumkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
"Saya tidak dimaklumkan berkenaan RM2.6 bilion. Saya hanya dimaklumkan selepas pendedahan The Wall Street Journal (WSJ), disaksikan setiausaha agung dan bendahari. Saya sebagai timbalan presiden memang tidak tahu.
"Saya tak mahu persoalkan wang derma itu, saya tak mahu pertikaikan. Itu jumlah bukan sedikit," kata ahli Parlimen Pagoh itu lagi.
Muhyiddin berkata, Najib bagaimanapun tidak mendedahkan kepadanya sumber dana berkenaan.
"Saya tanya datang dari mana, beliau jawab daripada penyumbang Timur Tengah. Saya tanya siapa nama orang itu, dan beliau kata tak boleh beritahu kamu," katanya.
Muhyiddin berkata, orang ramai yang menemuinya kini membangkitkan persoalan sama ada akaun Najib yang sudah ditutup masih lagi mempunyai wang di dalamnya.
"Akaun dah ditutup, ada baki tak? Sudah dimasukkan ke akaun parti? Saya tak boleh nak jawab sama ada dah masuk ke akaun parti atau sebaliknya. Banyak tanda tanya yang belum terjawab.
"Jika benar kerajaan kita ini telus, akauntabiliti, kita kena tunjuk bukan saja melalui perkataan, baru rakyat yakin kerajaan ini telus dan bertanggungjawab," katanya. – 7 Ogos, 2015.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa