04:30PM Ogos 12 2015
oleh Mariam Mokhtar
SEKILAS PANDANG: Tujuh belas tahun yang lalu, ketua pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Shafee Yahaya dipanggil untuk berjumpa perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad dan diarahkan untuk menutup siasatan satu kes rasuah yang sedang dijalankan BPR.
Hari ini, gangguan sama dilakukan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan ia telah menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.
Dua pegawai SPRM ditahan polis dan kini dilepaskan dengan ikat jamin.
Selain itu, pengarah operasi khas Bahri Mohamad Zin dan pengarah komunikasi strategik Rohaizad Yaakob sebelum ini dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri secara serta-merta.
Laman Malay Mail Online melaporkan yang ia berikutan “isu disiplin”.
(Berikutan kemarahan orang ramai, pemindahan tersebut telah dibatalkan.)
Kesemua empat pegawai SPRM ini menjadi sasaran boleh kerana mereka dipercayai terlibat dalam siasatan skandal 1MDB, yang melibatkan wang sejumlah RM2.6 bilion.
Wang itu kini dikatakan sebagai “derma” daripada seorang penyumbang dari Timur Tengah.
Pada tahun 1998, satu laporan rasmi terhadap Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Ali Abul Hassan Sulaiman telah dibuat kepada BPR.
Ketika pergi ke pejabatnya, pegawai BPR menemui ikatan wang kertas di dalam laci, dan Ali gagal memberi penjelasan tentang perkara itu.
EPU berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan bertanggungjawab memantau projek penswastaan.
Shafee diberitahu untuk memberikan laporan kepada Mahathir. Beliau diberi teguran keras sebelum diarah menutup kes.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, “Berani kamu menyerbu pejabat pegawai kanan saya.”
Beliau kemudian bertanya kepada Shafee, sama ada Anwar Ibrahim yang mengarahkan serbuan itu. Shafee menjawab “tidak”.
Kecewa dengan campur tangan dalam tugasnya, serta satu tuduhan lain, Shafee sudah bersedia untuk letak jawatan.
Namun isterinya Kalsom Taib memberi galakan agar beliau terus bertahan, walaupun dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan.
Insiden ini berlaku tiga bulan sebelum persaraannya.
Teguran keras yang diterima Shafee itu pasti kekal antara beliau dengan Mahathir sahaja. Ia mula diketahui orang awam selepas Shafee diminta menjadi saksi pembelaan dalam kes rasuah Anwar Ibrahim pada tahun 2000.
Media arus perdana hanya menyentuh perkara itu secara sepintas lalu dan ia seperti bakal dilupakan.
Kemudian pada tahun 2008, isu itu muncul kembali, ketika bekas pelapor khas PBB Param Cumaraswary terlibat dalam satu siri koresponden dalam akhbar The Sun, yang bermula pada Mac hingga April 2008.
Ketika itu, Mahathir cuba mencemarkan karakter Shafee dalam satu surat kepada akhbar itu.
Kalsom berang dengan serangan Mahathir dan menulis buku bertajuk ‘'The Shafee Yahaya Story, Estate Boy to ACA Chief’ untuk menceritakan kisah itu dari sudut pandang Shafee.
Param mendakwa yang ada bukti mencukupi untuk menyiasat Mahathir atas campurtangannya dalam siasatan BPR.
Beliau juga berkata bahawa siasatan BPR terhadap Ali Abul Hassan mengambil masa tiga tahun, bermula 1998.
Pada tahun 2001, peguam negara menyatakan yang kes itu ditutup ekoran “tiada bukti mencukupi”.
Apa yang cukup mengganggu adalah pada September 1998, Ali Abul Hassan dinaikkan pangkat menjadi Gabenor Bank Negara. Beliau menjadi gabenor Bank Negara sehingga April 2000.
Banyak persoalan yang bermain di fikiran, berhubung tahap campur tangan dan usaha menakut-nakutkan oleh politikus kepada penjawat awam.
Satu lagi fakta mengejutkan adalah Abul Hassan sebenarnya di bawah siasatan atas dakwaan rasuah sepanjang tempohnya menjadi gabenor.
Bagaimana ini boleh berlaku?
Apa sudah terjadi kepada laporan polis terhadap Mahathir yang dibuat pada 23 Jun 2000, atas peranannya dalam campur tangan siasatan yang dijalankan penjawat awam pada 1998?
Ketika ditanya wartawan berhubung insiden dengan Shafee itu, Mahathir mendakwa yang beliau telah lupa.
Tanam benih lalang tak kan tumbuh jadi padi.
ReplyDeleteUMNO sokong Mahathir, ini lah akibat nya hari ini.
UMNO sokong Najib, tak dapat bayangkan kehancuran semua sistem negara.