Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, August 17, 2015

RM2.6b : Masih belum boleh merasa lega dan senyum.......

RM2.6b dalam definisi "suapan" di bawah Seksyen 3 Akta SPRM - Badan Peguam

Badan Peguam mahu RM2.6b disiasat dahulu
mk - 9:58AM - 17 Aug 2015

Buat masa ini, Majlis Peguam tidak akan mengambil bahagian dalam jawatankuasa yang dicadang ditubuhkan oleh kerajaan bagi menyelia pembiayaan politik.

Apa-apa perbincangan mengenai undang-undang baru perlu menunggu selesainya siasatan yang sedang berjalan terhadap pemindahan dana 1MDB, kata Presiden Badan Peguam Malaysia, Steven Thiru dalam satu kenyataan hari ini.

Ini, terutamanya, kerana sesuatu sumbangan derma, seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak sebanyak kira-kira RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya, masih dalam definisi "suapan" di bawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, kata Thiru.

Langkah menubuhkan sebuah panel mengenai pembiayaan politik dibuat secara agak tiba-tiba, selepas pendedahan baru-baru ini oleh Wall Street Journal dan Sarawak Report mengenai pemindahan dana ke dalam akaun bank peribadi Najib dan pengumuman SPRM bahawa RM2.6 bilion itu adalah satu "sumbangan derma".

Malah, kata Thiru, cadangan untuk menubuhkan jawatankuasa itu akan sentiasa dilihat sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian daripada penyiasatan terhadap 1MDB, atau daripada dakwaan serius rasuah dan juga kesan daripada dakwaan-dakwaan itu, jika terbukti benar.

Cadangan itu, katanya, tidak seharusnya menjadi satu alat untuk mengurangkan kepentingan penyiasatan itu.

Majlis Peguam, katanya, tetap dengan pendiriannya bahawa tumpuan harus diberikan kepada satu siasatan bebas dan menyeluruh terhadap dakwaan yang nampaknya telah mengaitkan Najib dan siasatan itu perlu diselesaikan dengan segera.

Ia telah diiktiraf untuk beberapa waktu, katanya, bahawa terdapat keperluan untuk undang-undang bagi mengawal pembiayaan politik.

Bagaimanapun, kata beliau, tidak ada langkah-langkah yang nampaknya telah diambil berkaitan perkara itu.

Menurutnya lagi, ini bukannya masa untuk membabitkan isu-isu sampingan yang boleh dilihat sebagai tabir untuk menutup salah laku dalam perkara ini.

Thiru berkata, manakala Majlis Peguam sebelum ini berkerjasama sama, dan masih berbuat demikian, dengan kerajaan dalam pelbagai bidang pembaharuan undang-undang, tetapi pihaknya tidak berniat untuk mengambil bahagian dalam jawatankuasa tersebut seperti yang dicadangkan oleh menteri, buat masa ini.

Jumaat lepas, Najib mengumumkan cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berkata semua pihak akan dibawa berunding mengenai perkara itu, termasuk parti politik, ahli akademik, agensi kerajaan, masyarakat awam dan Majlis Peguam.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa