Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, April 9, 2015

Tahniah Sarawak, syabas Adenan Satem!

Di saat k'jaan persekutuan terpalit skandal, pentadbiran Sarawak terus cemerlang
11:30AM Apr 09 2015
oleh Jimmy Adit

FOKUS SARAWAK: Walaupun di saat kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak bergelut untuk mempertahankan saki-baki integriti yang tersisa daripada skandal 1MDB, Sarawak mencapai kecemerlangan selepas mencipa sejarah pada 6 April lalu, apabila semua Adun BN serta setiausaha politik Ketua Menteri membuat ikrar integriti.
Sejumlah 26 Adun dan 30 setiausaha politik menandatangani ikrar integriti di hadapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abu Kassim Mohamed dan Ketua Menteri Adenan Satem. Adenan pada 15 Januari lalu juga mengetuai menteri dan penolong menteri negeri untuk menandatangani ikrar tersebut.
“Jangan ingat rasuah akan hilang begitu sahaja selepas tandatangani ikrar, namun ini adalah langkah pertama yang baik,” Adenan dilaporkan berkata selepas majlis itu. Ia benar-benar menunjukkan beliau tahu apakah yang diperlukan untuk melawan rasuah.
Tidak syak lagi, Adenan tahu apakah yang bakal dihadapinya, dan itu adalah khabar buruk kepada mereka yang korup serta yang selama ini mengelak peraturan demi kepentingan diri sendiri.
Perasuah dalam industri pembalakan kini tahu yang mereka tidak boleh mencari pasal dengan Adenan, yang telah mengambil pendekatan yang menunjukkan beliau memang mengetahui modus operandi mereka.
Adenan tahu bahawa pembalak haram bukan sahaja mereka yang tidak berlesen, namun termasuk mereka yang ada lesen. Dan mereka ini tidak akan dapat menjalankan kegiatan mereka tanpa bantuan birokrasi, penguatkuasa – iaitu sistem itu sendiri.
Beliau telah bersumpah “untuk memberikan ketakutan kepada mereka yang tidak jujur”, dan telah menyifatkan keadaan rasuah di Sarawak sebagai “sangat buruk, cerminan kepada apa yang gagal dilakukan pegawai penguatkuasaan.”
“Sesetengah, tentunya tidak semua, akan berpura-pura tidak tahu. Sebabnya mudah; sama ada mereka bodoh, penakut atau korup.”
Dalam respon terhadap ikrar Adenan untuk membanteras rasuah dalam industri pembalakan, Pengarah Eksekutif NGO Bruno Manser Fund Lukas Straumann dilaporkan berkata:
“Ini adalah hari gembira untuk Sarawak dan Malaysia. Itu adalah kata-kata paling jelas yang kita pernah dengar daripada menteri kerajaan Malaysia untuk memerangi rasuah yang menjadi punca utama pembasmian hutan dan kekurangan pembangunan.
“Kami memuji Ketua Menteri Adenan Satem di atas pendirian berani dan kepimpinannya dalam soal ini.
“Masyarakat sivil dan antarabangsa bersedia membantu Sarawak dalam reformasi yang amat diperlukan ini, bukan sahaja dalam amalan perhutanan namun juga tadbir urus dan institusi dalam konteks yang lebih besar.”
Setakat ini, Adenan telah menggariskan dasarnya berhubung industri perladangan minyak kelapa sawit, menghentikan pemberian tanah negeri untuk ladang baru. Ia bagi menyelamatkan hutan negeri dan menghalang industri itu daripada menjadi terlalu besar dan bergantung kepada buruh asing.
Pergerakan buruh asing yang tidak berkawal boleh membawa bencana. Adenan mengatakannya dengan jelas ketika beliau menegur Jabatan Imigresen ekoran kegagalannya menghentikan kemasukan pendatang haram Suluk dan Bajau ke Miri:
“Anda tahu mengapa ramai pendatang haram di Sarawak sekarang?
“Kerana memandang rendah (masalah). Anda mahu jadi macam Sabah?
“Saya tidak mahu jadi macam Sabah.”
Sama ada ia menyebabkan politikus dan pemimpin negeri, industri balak, perladangan, atau penguatkuasa Jabatan Perhutanan dan Imigresen, semuanya adalah tentang soal integriti – atau pada masa ini, kekurangan integriti.
Abu Kassim, ketika memuji tindakan kerajaan Adenan, berkata beliau berharap negeri lain akan turut membuat pengisytiharan integriti.
Bagi saya, pengalaman Sarawak ini adalah pengajaran buat Malaysia, sebuah negara yang hari ini teruk digoncang oleh hal-hal yang disebabkan kurangnya integriti.

1 comment:

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa