oleh Khoo Kay Peng
SUARA LANTANG: Politik Malaysia pastinya sedang menuju ke arah krisis. Kita mempunyai tabiat merosakkan diri sendiri. Senarai kontroversi sedang semakin panjang, tetapi kerajaan tidak mampu menyediakan penghabisan yang memuaskan kepada mana-mana daripadanya.
Nampaknya parti-parti pembangkang sudah kehabisan pilihan untuk menghadapi kontroversi ini. Pemimpin mereka perlu tahu bahawa tidak banyak yang boleh dicapai melalui tindakan membawa penentangan mereka ke jalanan. Tetapi apa lagi yang mereka boleh lakukan untuk meyakinkan rakyat Malaysia, terutamanya masyarakat Islam Melayu, bahawa perubahan itu amat diperlukan? Mereka juga telah tersangkut dengan agenda-agenda politik peribadi mereka sendiri contohnya undang-undang hudud, pembebasan Anwar Ibrahim, kemelut kepimpinan dalaman dan sebagainya.
Persaingan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) telah menjadi semakin buruk. Tangkapan yang dibuat terhadap seseorang anggota Parlimen kerana membaca ucapannya di Parlimen, adalah tahap terburuk yang boleh dicapai kerajaan dalam menjejaskan tahap demokrasi di negara kita. Pihak polis membuat lebih banyak tangkapan terhadap orang-orang yang telah mengambil bahagian dalam demonstrasi secara aman, bagi membantah tangkapan-tangkapan ini.
Sementara perdana menteri masih berdiam diri, lebih banyak tangkapan sedang dilakukan terhadap tokoh-tokoh pembangkang. Persoalannya ialah siapakah dalang-dalang sebenar di sebalik tangkapan ini? Jika perdana menteri yang mengarahkan tangkapan ini, Najib Razak perlu menjelaskan mengenai gelaran reformis beliau.
Adakah Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar telah bertindak secara sewenang-wenangnya? Atau dia hanya bertindak atas arahan daripada ahli-ahli politik?
Ini bukan kali pertama Khalid telah bertindak melangkaui undang-undang tertinggi (sivil) negara. Beliau telah bertindak secara melanggar peraturan apabila mahkamah sivil mengarahkan seorang mualaf, Izwan Abdullah untuk memulangkan kembali anaknya kepada bekas isterinya, memetik keputusan yang bercanggah dari mahkamah syariah.
Mengenai tangkapan bermotif politik, Mahkamah Rayuan, dalam keputusan April 2014 mengenai kes terhadap pegawai PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, telah mengisytiharkan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman tidak mengikut perlembagaan, dan apa-apa percubaan untuk menjadikan mana-mana perhimpunan awam sebagai sebuah jenayah, adalah berlawanan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Khalid kemudiannya membuat lebih banyak tangkapan secara sesuka hati. Adalah tidak masuk akal untuk Khalid mencadangkan bahawa 126,000 orang-orangnya terikat di meja dan menghadap komputer mereka untuk memantau Internet bagi kelakuan-kelakuan menghasut. Tindakan KPN itu menyokong seruan supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan.
Untuk menghentikannya, perdana menteri tidak boleh terus memimpin secara senyap. Tindakan berdiam diri bermakna persetujuan dan sokongan kepada pelakunya, bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi kita.
PM mesti memulihkan demokrasi berperlembagaan dengan serta-merta. Jika tidak, satu-satunya keselamatan bagi kita adalah untuk menuntut perubahan melalui proses demokrasi. Perubahan ini memerlukan pengundi bermaklumat dan berpendidikan. Ada tanda-tanda yang pengundi-pengundi sudah matang. Tetapi ia akan mengambil masa dan ramai yang tidak boleh menunggu dengan cukup sabar.
Pada tahun lepas, lebih daripada tiga ratus ribu rakyat Malaysia telah berhijrah ke negara-negara lain.
Bagi mereka yang mahukan perubahan dan masih kekal di sini, kita mesti memulakan kempen bagi sebuah persekitaran politik yang lebih sihat dan bertanggungjawab. Walaupun telah merdeka selama hampir 60 tahun, kualiti perbahasan parlimen tidak bertambah baik. Ahli-ahli politik dari kedua-dua pihak lebih bersemangat untuk memburuk-burukkan, memfitnah dan menghasut, dan bukannya memberi tumpuan kepada isu-isu dan penyelesaiannya.
Kami memerlukan ahli-ahli politik yang berpandangan jauh dan bukannya mereka yang terlalu bersemangat untuk memuaskan hati ketua-ketua mereka. Mereka ini banyak terdapat di Parlimen. Malangnya, hanya segelintir daripada mereka tegas dan komited dalam mempertahankan dan melindungi nilai-nilai demokrasi dan majmuk Malaysia. Malahan golongan sederhana dalam PAS, seperti Khalid Samad dan Dr Dzulkefly Ahmad, sedang mengulangi sokongan bagi pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.
Adalah menggembirakan bagi pemimpin DAP, Lim Kit Siang untuk mencadangkan sebuah gabungan baru untuk mempertahankan perlembagaan. Walau bagaimanapun, adalah menyedihkan bahawa Lim hanya membuat cadangan ini apabila sudah jelas bahawa partinya berkemungkinan kehilangan sokongan orang bukan Islam, jika ia memilih untuk terus bekerjasama dengan PAS.
Jika Lim percaya terhadap usaha memperluaskan sifat majmuk gabungan PR, parti itu pastinya akan menyokong kemasukan Parti Sosialis Malaysia (PSM) ke dalam gabungan itu.
Sesetengah pemimpin dan pengkritik PAS telah mempersoalkan tindakan DAP memutuskan hubungan dengan presiden PAS, Abdul Hadi Awang tetapi mengekalkan kerjasamanya dengan parti itu. Dewan Undangan Negeri Kelantan telah sebulat suara meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015), tanpa undi dari presiden PAS itu.
Apa yang rakyat Malaysia berfahaman sederhana perlukan adalah ahli-ahli politik yang berprinsip dan tidak setia kepada parti membabi buta. Kita memerlukan mereka yang berani untuk menentang partinya, jika mereka perlu mempertahankan hak-hak perlembagaan rakyat.
Di masa hadapan, kita perlu menyokong integrasi nasional sebenar berdasarkan persefahaman antara masyarakat, hak sama rata untuk semua rakyat Malaysia, dan menamatkan sikap perkauman dan ketaksuban agama.
Mungkin pertubuhan awam perlu mempertimbangkan semula mengambil bahagian pada masa akan datang. Kita perlu mula membina sebuah pergerakan berfahaman sederhana yang komited dan dipimpin-rakyat, untuk mempertahankan dan melindungi prinsip-prinsip demokrasi kita, sebelum sistem demokrasi dan pakatan pembangkang tumbang.
Jika seruan bagi rakyat Malaysia untuk menjadi lebih proaktif dan komited dalam membentuk masa depan negara dan melindungi Perlembagaan Persekutuan adalah sama seperti perbuatan menghasut, lantaklah!
Sekarang adalah masa yang sesuai bagi kebangkitan golongan berfahaman sederhana Malaysia, untuk menentang golongan fanatik yang berkeras mahu menulis semula perlembagaan dan merosakkan semangat pengasas negara, hanya bagi memenuhi cita-cita politik mereka.
Khoo Kay Peng adalah seorang penganalisis politik dan perunding bidang pengurusan.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa