Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Thursday, April 2, 2015

Kebimbangan yang munasabah......

Akta Pencegahan Keganasan boleh disalah guna seperti ISA
08:30PM Apr 01 2015
oleh Sonia Ramachandran

KUALA LUMPUR: Akta Pencegahan Keganasan (Pota) yang dibentangkan di Parlimen pada 30 Mac lalu mungkin tidak sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang sudah dimansuhkan, namun ia juga seperti menunjukkan Malaysia telah memungkiri tanggungjawab antarabangsanya.
Sebagai ahli bukan tetap Majlis Keselamatan PBB bagi tempoh 2015-2016, Malaysia kini mempunyai hak mengundi dalam majlis itu.
Bukankah itu menjadikan Malaysia, berikutan kedudukannya, semakin terikat dengan kewajipan antarabangsa yang dikenakan Majlis Keselamatan?
Terutama memandangkan Resolusi 2178 (2014) dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Keselamaan pada 24 Desember 2014, apabila ia mengecam keganasan dan selain itu: “menegaskan bahawa negara ahli perlu memastikan apa-apa langkah yang diambil untuk melawan keganasan mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa, terutama undang-undang hak asasi manusia, undang-undang pelarian, undang-undang humanitarian…kegagalan untuk mematuhi ini dan kewajipan antarabangsa lain, termasuk piagam PBB, adalah salah satu faktor penyumbang kepada peningkatan radikalisasi dan menyemarakkan rasa bebas daripada hukuman.”
Ini adalah persoalan yang dibangkitkan presiden Majlis Peguam yang baru dilantik, Steven Thiru kepada Semut Harian.
“Jangan lupa yang Malaysia berada dalam Majlis Keselamatan, dan Resolusi 2178 menyebut tentang ancaman keganasan dan negara-negara bersetuju mereka tidak akan melangkaui kewajipan kedaulatan undang-undang dalam memeranginya.
“Malaysia kini berada dalam keadaan sukar kerana melanggar resolusi yang – saya diberitahu – mereka sokong ketika diundi ke dalam Majlis Keselamatan,” katanya.
Persoalannya sama ada Malaysia menyokong resolusi itu ketika ia diluluskan September 2014, sebelum negara memenangi kerusi dalam Majlis Keselamatan.
Jika tidak pun, bukankah selepas menyertainya, Malaysia perlu juga mematuhi resolusi tersebut?
Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengatakan bahawa resolusi itu mempunyai ikatan undang-undang dan menerangkan beberapa peruntukannya, terutama dalam isu jelas seperti menghormati hak asasi, kebebasan asas dan kedaulatan undang-undang , sebagai “bukan pilihan”.
Menjelang Hari Malaysia 2011, Perdana Menteri Najib Razak seperti memberi isyarat bermulanya era baru, apabila beliau mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan.
Bukankah dengan mewujudkan undang-undang baru dengan nama yang berbeza, namun seperti mempunyai peruntukan yang sama dengan ISA, sama dengan kata pepatah “bunga ros walau dengan apa pun nama, tetap sama wanginya”?
“Saya belum membaca akta itu namun melihat kepada laporan berita, apa yang dilaporkan, nampaknya tidak ada semakan kehakiman bagi perintah penahanan, kecuali untuk prosedur.
“Prosedur biasanya ditentukan oleh badan yang bertanggungjawab, maka tiada ruang untuk mencabarnya. Jika anda ingin memulakan cabaran substantif, ia akan dihalang. Itu seperti kembali kepada ISA,” katanya lagi.
Steven mempersoalkan mengapa kerajaan seperti tidak yakin dengan sistem kehakiman.
“Ini adalah tahan tanpa bicara. Mereka ingin meletakkannya di luar pemerhatian mahkamah. Ini membuatkan kita tertanya-tanya. Adakah kerajaan tidak yakin dengan mahkamah kita untuk mengendalikan hal ini? Kami yakin. Mereka pun sepatutnya begitu.
“Mengapa mengambil kuasa kehakiman daripada mahkamah? Ini memberi ruang untuk disalah guna, dan kita sudah lihat banyak kes salah guna ISA di mana semua lupa bahawa akta itu asalnya diluluskan untuk menangani komunis. Ia tidak bermaksud untuk digunakan bagi tujuan lain. Operasi Lalang 1987 digunakan terhadap suara-suara yang menentang, termasuk kerajaan. Kita bimbang Pota juga akan menjadi begitu,” kata Steven.
Malah, katanya lagi, bapa Najiblah, Abdul Razak yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri, pada 1960 menjanjikan ISA hanya akan digunakan terhadap komunis, namun kenyataannya bukan begitu.
“Itulah sebabnya kita sebelum ini berhujah menentangnya. Anda tidak perlukan akta ini kerana undang-undang sedia ada dalam Kanun Kesiksaan sudah cukup untuk menangani keganasan. Ditambah pula dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
“Penahanan tanpa bicara tidak akan menyelesaikan masalah yang ada, kerana anda tidak akan mampu berhadapan dengan semua pesalah yang anda lihat. Anda mungkin boleh tahan dan penjarakan seorang, namun anda akan membuatkan yang lain dan jaringannya tersebar. Anda hanya akan kelihatan keras di kalangan mereka yang dianggap sebagai pesalah,” katanya.
Di bawah Pota, suspek pengganas akan ditahan tanpa bicara, dan semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat Lembaga Pencegahan Keganasan tidak dibenarkan, kecuali jika berkaitan keperluan prosedur penahanan tersebut.
Rang Undang-undang (RUU) itu juga akan membolehkan suspek ditahan tidak melebihi 60 hari (termasuk tempoh reman) untuk kali pertama, sebelum dibawa ke lembaga, yang kemudiannya boleh mengeluarkan perintah penahanan sehingga dua tahun. Lembaga juga boleh memperbaharui tempoh tersebut jika mendapati asas yang munasabah.
Lembaga juga boleh mengarahkan pembebasan tahanan jika dilihat perlu.
Namun, RUU itu menyatakan tiada individu yang boleh ditahan hanya kerana kepercayaan dan kegiatan politiknya.
Kebimbangan Steven ternyata berasas, memandangkan ISA yang pada asalnya untuk melawan komunis kemudian digunakan ke atas pihak lain.
Juga, mengapa kita ada sistem kehakiman jika kebolehannya tidak diyakini?
Apa pula gunanya ISA dimansuhkan? Bukankah lebih mudah jika menukar namanya sahaja?

1 comment:

  1. ciptaan manusia mana ada yang sempurna.manusia itu sendiri pun kena dinasihati sepanjang umur.
    pbb pertubuhan bangsat bangsat bersatu sapa kepala dia bukankah bapak penjenyah jugak yang menguasai badan itu
    amerika cilaka

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa