Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, April 5, 2015

Pemuda PAS mahu Mahathir disiasat

PAS mahu polis siasat Dr M selepas kenyataan pembunuhan Altantuya
Published: 4 April 2015 12:57 PM
Ketua Pemuda PAS, Datuk Suhaizan Kaiat dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss di hadapan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur, selepas membuat laporan polis kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 4 April, 2015. 

Pemuda PAS hari ini mendesak polis segera menyiasat Tun Dr Mahathir Mohamad ‎berhubung persoalan ditimbulkan bekas perdana menteri itu kepada Datuk Seri Najib Razak mengenai pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss yang membuat laporan polis hari ini berkata, pihak berkuasa perlu mengambil serius dakwaan tersebut memandangkan orang yang membangkitkan persoalan tersebut pernah menyandang jawatan perdana menteri.
"Kami memohon pihak polis membuat siasatan di atas laporan dan kenyataan tersebut kerana ia adalah bersifat eksklusif daripada mantan perdana menteri Malaysia yang boleh mengundang spekulasi kepada negara," katanya kepada pemberita di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.
Khamis lalu, Dr Mahathir dalam kenyataannya berkata, rakyat sudah tidak mempercayai Najib kerana terbabit dengan pelbagai kontroversi termasuk tuduhan terlibat dalam pembunuhan Altantuya.
Dalam tulisan di blognya, Dr Mahathir berkata rakyat berada dalam ketidakjelasan mengenai motif pembunuhan yang masih menjadi tanda tanya tentang siapa yang memberi arahan.
"Rakyat tertanya-tanya siapa yang memberi arahan. Sebagai pengawal peribadi Najib, dakwaan Sirul Azhar Umar perlu disiasat untuk menentukan siapa memberi arahan.
"Tetapi selain daripada Najib berkata Sirul merepek, tidak ada siasatan dibuat. Ini adalah nyawa manusia. Amatlah zalim jika Sirul dibunuh kerana menjalankan arahan," kata Dr Mahathir di blognya.
Raja Ahmad berkata, Dr Mahathir perlu berkerjasama dengan polis mendedahkan kes tersebut terutama berhubung maklumat yang beliau perolehi.
"Ini merupakan isu negara, dakwaan dibuat bukan oleh orang biasa namun mantan perdana menteri yang dalam kepala beliau menyimpan pelbagai rahsia negara dan mempunyai pelbagai akses, beliau tidak akan cakap sebarangan, hujahnya pasti mempunyai fakta yang kuat," katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menolak kenyataan Dr Mahathir sebagai menghasut kerana bukan beliau seorang sahaja yang membangkitkan isu tersebut.
Mengulas mengenai perkara itu Suhaizan ‎berkata laporan yang dibuat Pemuda PAS bukan berkaitan dengan Akta Hasutan namun lebih kepada maklumat diperolehi pemimpin veteran Umno itu sehingga beliau membangkitkan persoalan secara umum.
"Kita minta Dr Mahathir disiasat, barangkali beliau ada maklumat yang pihak berkuasa tidak ada.
"Tetapi kita tidak minta untuk Dr Mahathir disiasat di bawah Akta Hasutan, ini isu berbeza‎ kerana wujudnya dakwaan baru dan sekali gus memberi tekanan untuk polis menyiasat kembali motif pembunuhan Altantuya," kata Suhaizan.
Raja Ahmad Iskandar yang juga merupakan exco pemuda PAS juga bersependapat dengan ketuanya dan berkata kenyataan Dr Mahathir bukan dilihat sebagai menghasut tapi lebih kepada mempertikaikan motif kes pembunuhan berprofil tinggi itu.
"Saya berasa pelik kenapa Khalid kata tidak mahu menyiasat kerana tidak ada kaitan dengan Akta Hasutan‎, ia tidak boleh menyiasat hanya kerana mempunyai unsur hasutan semata-mata.
"Namun sekarang ini Dr Mahathir mempertikaikan kes tersebut, mempersoalkan motif pembunuhan dan ini tidak didedahkan dalam mahkamah yang bukan sahaja menjadi pertikaian rakyat Malaysia tetapi masyarakat Mongolia dan antarabangsa juga," katanya.
Beliau juga berkata desakan untuk pihak polis menyiasat Dr Mahathir perlu dibuat supaya dapat membersihkan nama Najib yang sudah tercemar dengan dakwaan tersebut.
"Saya lihat siasatan ini perlu untuk membersihkan bukan sahaja nama Najib, namun pihak keselamatan, badan mahkamah yang negara secara kesuluruhannya," katanya.
Sementara Suhaizan tidak menolak kemungkinan Pemuda PAS bakal mengadakan pertemuan bersama Dr Mahathir bagi mendapatkan gambaran lebih jelas.
"Kami berhasrat untuk mengadakan pertemuan bersama mantan perdana menteri, ia sudah ada dalam perbincangan dan kita bakal menulis surat dan berharap beliau sudi untuk bertemu dengan kita," katanya. – 4 April, 2015.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa